SINGAPURA: Tinjauan terkini Global Student Survey menunjukkan 78 peratus penuntut universiti di Malaysia yakin negara mereka tempat tinggal yang baik, lebih tinggi berbanding purata global (71 peratus) dan meningkat ketara berbanding 65 peratus pada tahun 2022.

Kajian oleh Chegg.org itu merupakan tinjauan paling komprehensif dan terkini mengenai kehidupan, harapan dan kebimbangan pelajar universiti di 15 negara ketika memasuki zaman kecerdasan buatan (AI).

Chegg.org ialah cawangan bukan untung syarikat teknologi pendidikan Chegg yang berpangkalan di California. Tinjauan pertama dilancarkan pada 2001 semasa perintah kawalan pergerakan COVID-19 dan yang kedua pada April 2022.

Selain itu, tinjauan berkenaan mendedahkan bahawa pelajar berharap yuran pengajian diturunkan, dengan 84 peratus pelajar yang ditinjau di Malaysia mahukan tempoh pengajian ijazah lebih singkat bagi mengurangkan yuran, angka tertinggi antara semua negara yang ditinjau selain Kenya (84 peratus).

Lebih dua pertiga (67 peratus) lebih suka universiti menawarkan pilihan pembelajaran secara dalam talian bagi mengurangkan kos pengajian, walaupun angka itu merosot daripada 78 peratus pada 2022.

Tinjauan pendapat ketiga oleh Yonder Consulting itu yang melibatkan lebih 11,000 pelajar prasiswazah berumur 18-21 tahun di 15 negara, termasuk 508 penuntut di Malaysia, merangkumi pandangan pelajar mengenai pembelajaran dalam era AI, kemahiran dan kerjaya serta kesihatan, kesejahteraan dan sikap sosial.

Hampir separuh (49 peratus) pelajar Malaysia menggunakan kecerdasan buatan generatif (GenAI) untuk membantu dalam pembelajaran, lebih tinggi daripada purata global (40 peratus).

Walaupun penuntut Malaysia menganggap GenAI sebagai alat bantuan pembelajaran yang bermanfaat, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, dengan 72 peratus mengatakan mereka mahu melibatkan kepakaran manusia dalam menyiapkan tugasan.

Pada masa yang sama, 49 peratus pelajar Malaysia yang mengatakan mereka menggunakan GenAI untuk pembelajaran, 65 peratus bimbang tentang maklumat yang diperoleh tidak tepat atau salah, walaupun majoriti (58 peratus) menggunakan GenAI dalam membuat penyelidikan untuk tugasan atau projek.

Dari segi penggunaan GenAI, sembilan peratus pelajar Malaysia secara puratanya menggunakan lebih daripada 10 kali sehari - peratusan tertinggi selepas India (10 peratus) dan Kenya (12 peratus).

Hampir satu pertiga (32 peratus) mengatakan mereka menggunakannya beberapa kali seminggu.

Dianggarkan tiga perempat (73 peratus) pelajar yang ditinjau di Malaysia percaya bahawa ketersediaan perkakasan GenAI secara percuma, kolej dan universiti wajar mengubah cara mereka menilai pelajar.

Antara kohort ini, lebih separuh (53 peratus) mengatakan perlu ada panduan yang lebih baik tentang penggunaan GenAI yang boleh diterima dalam penilaian, separuh (50 peratus) mengatakan perlu ada lebih banyak penilaian berasaskan kerja kursus (yang kedua tertinggi daripada semua negara selepas Sepanyol (65 peratus) dan 43 peratus mengatakan perlu ada lebih banyak penilaian secara peribadi yang dipantau (yang tertinggi daripada semua negara).

"Pelajar juga mengambil kira bagaimana AI boleh menjejaskan kerjaya masa depan mereka," menurut tinjauan itu.

Walaupun hampir satu perempat (22 peratus) pelajar Malaysia yang ditinjau berpendapat ijazah mereka akan menjadi kurang berguna, atau tidak digunakan langsung, di tempat kerja yang dibantu AI, 41 peratus percaya ia akan lebih berguna berbanding sebelum ini.

Lebih daripada dua pertiga (69 peratus) berkata mereka mahu kurikulum kursus memasukkan latihan dalam alatan AI yang berkaitan dengan kerjaya.

-- BERNAMA